Pemerintahan Tsar Peter Agung (1689-1725)
Tsar Peter Agung merupakan pemerintah Rusia yang telah
melakukan pelbagai pembaharuan dalam bidang politik, sosial, ekonomi dan
keagamaan. Pembaharuan yang dijalankan adalah didorong oleh pengalamannya
ketika mengembara ke negara-negara Eropah Barat seperti Jerman, Belanda,
Austria, Britain dan Perancis. Tsar Peter ingin menjadikan negara Rusia maju
setanding dengan negara-negara Barat ini. Antara pembaharuan yang dilakukan
oleh Tsar Peter Agung adalah seperti dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
Bidang Politik
Menyusun Semula Sistem Pentadbiran Rusia
Semasa pemerintahan Tsar Peter Agung, sistem pentadbiran
Rusia disusun semula dengan mewujudkan sistem pentadbiran pusat yang cekap dan
teratur. Baginda melakukan rombakan dalam institusi-institusi pentadbiran
seperti Duma, Zemskii Sabor dan Prikazi iaitu digantikan dengan Majlis Senat
pada tahun 1711. Majlis Senat dianggotai oleh sembilan orang ahli. Sebuah badan
yang dikenali sebagai Colleges ditubuhkan untuk mengurangkan beban tugas
anggota Senat.
Memindahkan Pusat Pemerintahan
Pada tahun 1721, Tsar Peter Agung memindahkan pusat
pentadbiran dan Moscow ke St. Petersburg untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai
peynerintah berkuasa mutlak di Rusia. Sistem pentadbiran yang cekap menyebabkan
Tsar Peter Agung berjaya meluaskan kuasa dan menewaskan Turki dan Sweden.
Dasar Peluasan Kuasa
Tsar Peter Agung mengambil langkah-langkah untuk membina
pasukan tentera yang kuat menangkis serangan musuh, mematahkan pemberontakan
dalam negeri, dan meluaskan jajahan takluk Rusia. Pada tahun 1696, beliau
melancarkan serangan kedua dan berjaya menguasai kubu tersebut daripada orang
Tartar.
Selepas menguasai Azov, Tsar Peter Agung melancarkan
serangan terhadap Sweden. Tsar Peter Agung berjaya menewaskan tentera Sweden
dalam pertempuran di Poltova. Peperangan dengan Sweden ditamatkan melalui
Perjanjian Nystadt yang dimeterai pada tahun 1721. Menerusi Perjanjian Nystadt,
Tsar Peter Agung berjaya menguasai Livonia, Estonia, Ingria dan Karelia dan
Sweden.
Kejayaan Tsar Peter Agung menyebabkan Rusia muncul sebagai
sebuah empayar yang kuat di Eropah pada abad ke-18 M. Semasa pemerintahan Tsar
Peter Agung, empayar Rusia telah mencapai zaman kegemilangan. Tsar Peter Agung
meletakkan asas yang kukuh bagi Rusia mencapai kemajuan pada abad-abad
seterusnya.
Bidang Ekonomi
Memajukan Sektor Perindustrian
Untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara dan meningkatkan
perbendaharaan negara, baginda telah membangunkan sektor perindustrian iaitu
memberi penekanan kepada sektor industri berat dan industri pembuatan. Sektor
perindustrian diletakkan di bawah penyeliaan kerajaan pusat di mana kerajaan
pusat telah memberi pelbagai insentif dan subsidi untuk membangunkan sektor
perindustrian.
Sektor pembuatan barangan seperti tekstil, kaca dan barangan
kulit turut dimajukan. Manakala industri berat seperti industri besi dan keluli
juga telah dimajukan di Ural. Kilang membuat senjata dan peralatan perang
didirikan oleh kerajaan untuk
menyediakan peralatan perang yang mencukupi.
Penekanan yang diberikan oleh Tsar Peter Agung telah berjaya
menarik pemodal-pemodal asing untuk mendirikan kilang di Rusia dan hasilnya
banyak kilang didirikan di Rusia. Sebagai contoh, pada tahun 1682 terdapat 21
buah kilang dan bertambah kepada 200
buah kilang pada tahun 1725. Menjelang abad ke-18 M, Rusia menjadi pembekal
besi utama untuk pasaran di Eropah.
Memantapkan sistem percukaian
Tsar Peter Agung turut memperkenalkan pelbagai cukai untuk
menambahkan perbendaharaan negara dan membiayai peperangan. Baginda
memperkenalkan cukai tidak langsung bagi barangan keperluan harian dan cukai
kepala pada tahun 1718. Cukai kepala dibayar mengikut jumlah individu dalam
sesebuah isi rumah dan dibayar dalam bentuk wang tunai.
Bidang Sosial
Memajukan Bidang Pendidikan
Tsar Peter Agung turut memberikan penekanan kepada kemajuan
dalam bidang pendidikan. Baginda menghantar ramai golongan muda ke Barat untuk
menuntut ilmu dan mempelajari kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.
Selain itu, baginda juga telah menubuhkan lebih banyak
sekolah di Rusia antaranya sekolah The Navigator School, Naval Academy,
Engineering Academy, dan Artillery Academy. Mata pelajaran yang diberikan
penekanan ialah bidang aritmatik, geometri, geografi dan pelayaran. Baginda juga
telah menubuhkan sebuah universiti yang dikenali sebagai The Imperial Academy
of Science.
Baginda juga memperkenalkan penerbitan surat khabar yang
pertama di Rusia, mengubah sistem kalender Rusia dengan memperkenalkan sistem
kalender Julius dan menggalakkan penterjemahan bahan-bahan bacaan dari luar
negara.
Menyusun Semula Pentadbiran Gereja
Dalam bidang keagamaan, Tsar Peter Agung mengambil langkah
untuk menyusun semula pentadbiran gereja bagi mengurangkan kuasa dan
keistimewaan yang dimiliki oleh gereja. Baginda bertindak meletakkan
pentadbiran gereja di bawah bidang kuasanya.
Selepas kematian ketua Gereja Kristian Ortodoks pada tahun
1700, baginda tidak melantik penggantinya. Malah memperkenalkan badan yang
dikenali sebagai Holy Synod untuk mengambil alih peranan ketua Gereja Kristian
Ortodoks. Badan ini dipengerusikan sendiri oleh baginda dengan dibantu oleh
biskop-biskop yang dilantik oleh kerajaan pusat sebagai anggotanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan